mutakhir

Nilai manfaat diskaun tol [METROTV]

Oleh BERNAMA

RAKYAT diminta menilai manfaat daripada pengurangan tol sebanyak 18 peratus diberikan kerajaan serta tidak terpedaya dengan hasutan dan dakyah berhubung pengiraan yang dibuat pembangkang.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata, pembangkang dilihat cuba mempersoalkan pengurangan kadar tol yang diberikan kerajaan dengan membuat perbandingan tempoh pengiraan yang perlu ditempuhi rakyat sepanjang tempoh konsesi tol itu sehingga 2058.

“Pihak tertentu tidak tahu kira dan sengaja menyatakan apabila kita melanjutkan konsesi sepanjang 20 tahun dan mengurangkan tol sebanyak 18 peratus, mereka cakap itu merugikan rakyat tetapi mereka tidak mahu jelaskan bahawa semasa mereka (kerajaan dahulu) melanjutkan konsesi 20 tahun di bawah kerajaan dahulu, mereka tidak pun mengurangkan kadar tol,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Rumah Terbuka Tahun Baru Cina Ahli Parlimen Bukit Gelugor Ramkarpal Singh di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Sing Kang di Georgetown hari ini.

Guan Eng berkata, menerusi pengurangan kadar tol itu, ia memberikan penjimatan yang besar kepada rakyat dan kerajaan.

“Kurangkan kadar tol 18 peratus kita tidak perlu membayar pampasan bermakna kerajaan jimat sebanyak RM28 billion.

“Ia satu penjimatan besar. Sungguh pun kita buat usaha-usaha ini untuk rakyat Malaysia, masih ada orang daripada parti lawan cakap potongan ini tidak bermakna kerana kita melanjutkan konsesi selama 20 tahun.

“Pertamanya mereka (pembangkang) cakap, mengapa kita tak bagi percuma, apa kita boleh buat...kalau kita nak bagi percuma boleh, kita kena keluarkan wang untuk beri balik pada konsesi, puluhan billion. Itu sebab kita cari alternatif lain iaitu melanjutkan tempoh konsesi tol selama 20 tahun tetapi ada pengurangan tol sebanyak 18 peratus dan ia tidak akan naik sehingga 2058,” katanya.

Menurutnya, rakyat perlu menilai perkara berkenaan dari aspek ‘faktor diskaun’ yang lebih memberikan manfaat dan penjimatan.

“Ada yang membuat perkiraan, mereka cakap 18 tahun anda bayar RM10. Lebih baik tak berbanding selama 38 tahun hanya membayar RM82 kerana RM100 adalah untuk tempoh selama 18 tahun,” katanya.

Katanya, rakyat perlu memikirkan nilai wang yang akan dibayar untuk tempoh 10 tahun akan datang.

“Contohnya hari ini anda membayar RM1,000 dan dalam tempoh 10 tahun lagi anda masih membayar nilai yang sama. Anda boleh rasai manfaat akan nilai wang pada masa itu dengan hanya masih membayar nilai sama, sudah tentu 10 tahun lagi nilai wang RM1,000 itu sudah tidak sama dengan hari ini,” katanya.

Semalam, jutaan rakyat Malaysia mula menikmati kadar tol 18 peratus lebih rendah yang merupakan satu penjimatan yang cukup ketara buat semua pengguna.

Disiarkan pada: February 2, 2020 @ 8:55pm
d