mutakhir

Agensi pelancongan lapor konsulat

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

PIHAK Albayt Travel (M) Sdn Bhd yang mengurus umrah usahawan kontroversi Nur Sajat dan ahli keluarganya sudah mengambil tindakan susulan dan nasihat melalui Mutawwif yang bertugas di Makkah.

Albayt Travel dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur malam tadi berkata, pihaknya juga sudah merujuk insiden Nur Sajat memakai pakaian wanita dan bertelekung itu kepada pihak Konsolat Malaysia di Jeddah, Arab Saudi untuk tindakan selanjutnya.

Menurutnya, syarikat mereka memiliki lesen pengenalan pakej pelancongan membabitkan dalam dan luar negara termasuk pakej umrah.

“Kumpulan umrah khas oleh keluarga Nur Sajat dan rakan perniagaannya itu disertai sembilan orang iaitu tujuh dewasa dan dua kanak-kanak bersama seorang Mutawwif bermula 28 Januari lalu hingga 7 Februari ini.

“Lokasi kembara adalah Madinah, Makkah dan Jeddah menggunakan visa pelancong,” katanya.

Menurutnya, dari peringkat awal pendaftaran kumpulan itu, Albayt sudah memaklumkan kepada pihak pelanggan terdapatnya perbezaan pengurusan dan tatacara hukum hakam ibadah umrah serta ziarah sepanjang trip mereka.

“Pihak pelanggan mengakui faham akan hal itu berikutan status jantina yang mungkin akan menyentuh sensitiviti ramai dalam kalangan masyarakat Muslim.

“Oleh itu, pihak Albayt mengambil langkah yang penuh berhati-hati bermula penyusunan dokumen untuk pemprosesan visa, kursus pemantapan umrah khas dan sehinggalah soal yang menyentuh perihal ibadah sepanjang berada di sana (Makkah),” katanya.

Menurut kenyataan itu, pihaknya turut menitikberatkan kepada pelanggan adalah supaya tidak mempublisitikan percutian ibadah umrah mereka kepada umum melalui mana-mana saluran media berikutan kekhuatiran pihaknya, mungkin akan menyebabkan timbul ketidakselesaan segelintir dari masyarakat Muslim.

“Atas nasihat awal Albayt itu, pihak pelanggan bersetuju untuk mematuhi serta menghormati pandangan umum dengan tidak sesekali memaparkan sebarang bentuk visual kepada khalayak umum berkaitan hal yang boleh menyebabkan berlakunya salah tafsir.

“Namun apa yang terjadi ini adalah di luar jangkaan kami dan mengharapkan semua pihak jelas akan hal ini,” katanya.

Berita berkaitan:

Sajat syukur dapat buat umrah

Disiarkan pada: February 3, 2020 @ 1:04am
d