mutakhir

Tak sampai sebulan, dah dikebas...

Oleh Asrol Awang

MAJLIS Perbandaran Kuantan (MPK) terkilan dengan kes kecurian lampu hiasan pada papan iklan luar, ‘Selamat Datang Ke Kuantan’, di Jalan Kuantan-Gambang, Kuantan, semalam.

Ketua Seksyen Perhubungan Awam dan Korporat MPK, Norkamawati Kamal berkata, tindakan individu dan pihak tidak bertanggungjawab itu amat dikesali ketika MPK menaik taraf dalam menceriakan bandar Kuantan.

Katanya, sebagai pihak berkuasa tempatan (PBT) yang membelanjakan peruntukan untuk kemudahan itu untuk warga Kuantan, perbuatan mencuri harta benda awam terbabit tidak sepatutnya berlaku.

“Pada masa sama, empat unit lampu hiasan ini baru sahaja dipasang awal Januari lalu dengan kos keseluruhan berjumlah RM3,000.

“Bukan itu sahaja, sistem pendawaian elektrik bagi pemasangan lampu hiasan itu juga turut dirosakkan.

“Sebenarnya pemasangan lampu hiasan ini sebagai tarikan dan menceriakan Kuantan kerana ia juga pintu masuk utama ke daerah ini sebaik keluar dari Plaza Tol Gambang, di sini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Berdasarkan tinjauan hari ini, empat lampu hiasan dicuri manakala pendawaian elektrik dirosakkan oleh individu atau pihak tidak bertanggungjawab.

Sehubungan itu, Norkamawati berkata, pihaknya meminta orang ramai yang melihat kes kecurian itu melaporkannya kepada pihak berkuasa.

Katanya, MPK sudah membuat laporan polis bagi memastikan mereka yang terbabit dalam kes terbabit ditahan.

“Dalam kes ini, kes kecurian harta benda awam tidak sepatutnya berlaku kerana kemudahan itu untuk kepentingan bersama, tambahan pula ia dipasang sempena Tahun Melawat Malaysia,” katanya.

Disiarkan pada: February 3, 2020 @ 12:08pm
d