mutakhir

Warga emas 'lawat' penjara setiap bulan

Oleh Ahmad Rabiul Zulkifli

“SAYA sudah tua, tiada banyak masa lagi, sebab itu sanggup datang dari jauh untuk menjenguk anak setiap bulan,” kata Ong, 67.

Ong akan melawat anak keduanya yang juga banduan akhir di Penjara Marang, di Marang selepas dipenjarakan sejak 23 Mei 2016, setiap bulan.

Menurutnya, anaknya berusia 38 tahun merupakan banduan akhir di bawah kesalahan Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

“Saya jenguk anak setiap bulan untuk melepaskan rindu. Jika diikutkan hati, setiap hari saya ingin melawatnya namun tidak boleh berbuat demikian. Mahu datang setiap minggu juga tidak boleh sebab saya tinggal di Besut dan tidak mempunyai kenderaan sendiri.

“Cuma harapkan kepada ihsan jiran yang tolong bawa saya ke penjara,” katanya ketika ditemui di Penjara Marang, di Marang, hari ini.

Katanya, dia mempunyai tiga anak tetapi Alex (bukan nama sebenar) anak yang paling manjanya dengannya.

“Alex berkerja di bengkel motosikal dan saya tidak sangka dia boleh terbabit dengan dadah. Sebelum ini Alex pernah ditangkap dan di tahan di Penjara Marang kerana kesalahan dadah tetapi tidak lama.

“Saya sudah menasihatinya supaya jangan ambil dadah dan saya sangka dia sudah berubah tetapi sebaliknya,” katanya.

Menurutnya, dia sudah tua sekali gus tidak mempunyai masa yang panjang untuk bersama dengan anaknya itu.

“Alex pula sudah dijatuhi hukuman gantung oleh itu hasrat menjalani kehidupan bersamanya pasti tidak tertunai lagi. Selagi saya sihat, saya akan sentiasa melawatnya di penjara,” katanya.

Sementara itu, Alex berkata, dia menyesal kerana terbabit dengan dadah seterusnya terpaksa menjalani hukuman penjara dan gantung.

“Saya kasihan melihat ibu yang semakin tua tetapi tetap datang melawat. Harap ibu sentiasa sihat dan jaga diri baik-baik,” katanya, dia sudah merayu hukuman berkenaan dan masih menunggu keputusan.

Disiarkan pada: February 3, 2020 @ 3:29pm
d