mutakhir

Malaysia tak import ayam selsema H5N1

Oleh BERNAMA

MALAYSIA tidak mengimport haiwan hidup dan produk dari kawasan Shaoyang di wilayah Hunan, China, yang dilaporkan berlakunya wabak selsema burung H5N1.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Veterinar Datuk Dr Quaza Nizamuddin Hassan berkata, Malaysia mengimport keratan ayam dari loji pemprosesan ayam di Liaocheng, Shangdong, yang terletak kira-kira 1,313 kilometer (km) dari tempat kejadian.

Berdasarkan laporan media, China melaporkan penularan H5N1 di sebuah ladang ternakan di bandar Shaoyang, dengan kira-kira 4,500 daripada 7,859 ayam yang diternak di ladang itu dilaporkan mati akibat jangkitan virus itu.

Menurut Quaza Nizamuddin, pihak berkuasa China sudah mengambil tindakan untuk mengawal penyakit berkenaan susulan laporan kes H5N1 itu.

Jabatan Perkhidmatan Veterinar juga sentiasa mengambil sampel keratan ayam yang dibawa masuk untuk diuji bagi penyakit H5N1, katanya tadi.

"Setakat ini tiada sampel yang positif,” katanya.

Langkah berjaga-jaga juga akan ditingkatkan dan sampel akan diambil daripada setiap kosainmen untuk diuji, katanya.

Beliau berkata, Jabatan Perkhidmatan Veterinar akan sentiasa memantau keadaan dan berhubung dengan World Animal Health Organisation (OIE) untuk mengetahui status kedudukan sebenar dari semasa ke semasa.

Disiarkan pada: February 3, 2020 @ 5:05pm
d