mutakhir

Masih ramai guna bubu naga

Oleh Noor Hidayah Tanzizi

SEBANYAK 3,803 bubu naga bernilai RM218,000 dirampas Jabatan Perikanan Perak dalam operasi di perairan Perak, sepanjang tahun lalu.

Pengarah Perikanan Perak, Zaki Mokri berkata, segelintir nelayan di negeri ini dikesan masih menjalankan kegiatan menangkap ikan menggunakan kaedah itu biarpun penggunaannya sudah dilarang berkuat kuasa 1 November 2018.

Menurutnya, perairan Panchor, Pantai Remis di Manjung dan Kuala Sepetang, Taiping adalah lokasi yang dikesan aktif menggunakan bubu naga dan rampasan alatan itu juga sering dilakukan di kawasan berkenaan.

“Untuk tahun lalu Jabatan Perikanan Perak mencatatkan sebanyak 234 kes dengan rampasan 3,803 bubu naga dan untuk Januari ini sebanyak 30 kes dicatatkan membabitkan 312 unit alatan itu yang bernilai RM23,000,” katanya ketika ditemui di Bagan Panchor, Pantai Remis dekat Manjung, semalam.

Zaki berkata, harganya yang murah iaitu hanya RM70 seunit menjadi antara penyebab bubu naga masih banyak digunakan biarpun pihak berkuasa sering menjalankan operasi bagi mengekang kegiatan haram itu.

“Peralatan ini lebih mudah dan boleh ditinggalkan semalaman sebelum nelayan datang mengambil hasil. Maklumat yang kita perolehi juga mendapati bekalan bubu naga dari

Thailand.

“Bubu naga mempunyai lebih dua injap sebab itu penggunaannya diharamkan. Alatan ini boleh beri kesan kepada induk dan anak ikan selain memerangkap serta menjejaskan sumber perikanan,” katanya.

Katanya, pihaknya juga menerima aduan terutama daripada nelayan bot tunda kelas B yang memaklumkan terdapat banyak bubu naga di kawasan tangkapan ikan zon berkenaan.

Sementara itu, Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Perak, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, pihaknya merampas 706 unit bubu naga bernilai RM60,000 sepanjang tahun lalu mengikut Seksyen 11 (3)(c) Akta Perikanan 1985.

Katanya, semua barang rampasan itu akan dilupuskan dan pihaknya turut mengesan penggunaan bubu naga aktif dijalankan di kawasan sekitar perairan Pantai Remis.

Disiarkan pada: February 4, 2020 @ 9:06am
d