mutakhir

Peguam penipu, penyelia kanan ditipu

Oleh Mohd Khidir Zakaria

PULANGAN dijanjikan hasil saham yang dilabur adalah RM800,000, namun penyelia kanan industri minyak dan gas di Port Dickson hanya memperoleh RM18,319 sahaja.

Ia juga tidak ‘balik modal’ dengan wang yang sudah dilaburkan lelaki berusia 51 tahun itu, yakni sebanyak RM69,410.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, mangsa membuat laporan polis pada 21 Januari lalu selepas menyedari ditipu sindiket berkaitan pelaburan saham.

“Dia sebelum itu diyakinkan bakal memperoleh pulangan tinggi jika membeli saham menerusi pelan disediakan syarikat berkenaan yang dikongsi menerusi kumpulan WhatsApp.

“Pembelian saham yang dibuat menerusi 37 transaksi bermula November tahun lalu hingga Januari tahun ini bernilai RM69,410,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Bagaimanapun, hingga kini mangsa tidak memperoleh pulangan dijanjikan dan dia juga gagal menghubungi wakil syarikat itu selepas mendapati tiada lagi bayaran yang dibuat.

“Mangsa membuat laporan dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

Dalam pada itu, kakitangan awam berusia 39 tahun mendakwa diperdaya firma guaman yang menguruskan pembelian rumahnya di Bandar Sunggala, Port Dickson, berikutan gagal memulangkan lebihan pinjaman.

Aidi Sham berkata, mangsa melantik firma guaman itu untuk urusan pembelian rumah ibunya yang berharga RM80,000 secara pinjaman menerusi Lembaga Perumahan Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA).

“LPPSA meluluskan pinjaman mangsa sebanyak RM120,000 dan urusan pembelian itu berjaya sehingga penukaran nama, namun mangsa mendakwa tidak menerima baki lebihan pinjamannya berjumlah RM40,000 sehingga kini.

“Untuk itu, mangsa membuat laporan pada 10 Januari lalu dan siasatan mendapati tujuh kes membabitkan firma guaman sama diterima pada 2019, empat pada 2018 dan empat juga pada Januari lalu,” katanya.

Aidi Sham berkata, firma guaman itu sudah ditutup dan sijil amalan guaman ditarik dan ia tidak dibenarkan beroperasi sejak 1 Januari 2019.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan orang ramai dinasihati supaya berhati-hati dan tidak terpedaya dengan kegiatan itu.

Disiarkan pada: February 4, 2020 @ 12:27pm
d