mutakhir

Dapatkan rawatan kanser segera

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

KEBERGANTUNGAN kepada rawatan tradisional seperti bomoh dan rawatan rohani dikesan menjadi punca kepada ramai pesakit kanser lambat mendapatkan rawatan sehingga sukar dirawat dan menyebabkan kematian.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, Laporan Pendaftaran Kanser Kebangsaan Malaysia 2012-2016 mendedahkan 60 peratus pesakit kanser di Malaysia dikesan pada tahap lewat iaitu tiga serta empat.

Beliau berkata, pengesanan awal dan rawatan segera meningkatkan peluang untuk mengubati kanser, namun malangnya pesakit kanser di negara ini lewat mendapatkan rawatan.

“Mengesan kanser pada peringkat akhir menyebabkan kos rawatan yang lebih tinggi dan mengurangkan peluang untuk sembuh. Sesetengah rakyat Malaysia mempunyai kepercayaan yang kuat terhadap rawatan alternatif.

“Dalam banyak keadaan, pesakit ini mencari rawatan tradisional termasuk rawatan penyembuh rohani sebagai pilihan pertama mereka apabila didiagnosis oleh doktor.

“Hanya apabila modaliti itu gagal, baru mereka mendapatkan rawatan perubatan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Hari Kanser Sedunia 2020 di KL Sentral, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Dzulkefly berkata, perkara itu bukan baharu sebaliknya pihaknya berdepan cabaran untuk mengubah kepercayaan rakyat terhadap rawatan yang tiada bukti keberkesanan dalam usaha mengurangkan pesakit kanser.

“Pelbagai kempen dan program dilaksanakan untuk tujuan itu,” katanya.

Mengenai usaha kerajaan menambah pakar onkologi, beliau berkata, Malaysia mempunyai 114 pakar onkologi yang bertugas di 68 hospital swasta, 33 di hospital kerajaan dan 14 universiti namun ia tidak mencukupi untuk merawat pesakit kanser.

“Penyediaan perkhidmatan onkologi adalah komponen penting lain dalam menguruskan kanser.

“Setakat ini hanya 52 onkologi dilahirkan setiap tahun menerusi program pengajian berkaitan.

“Berdasarkan purata seorang onkologi merawat 100,000 orang dan jumlah itu terlalu jauh yang memerlukan pertambahan,” katanya.

Disiarkan pada: February 4, 2020 @ 3:03pm
d