mutakhir

Cadang bina laluan pejalan kaki berbumbung [METROTV]

Oleh Mohamed Farid Noh

KERAJAAN Persekutuan akan berunding dengan PLUS Malaysia Bhd (PLUS) bagi cadangan membina laluan pejalan kaki berbumbung di Tambak Johor.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yasin berkata, cadangan membabitkan kos RM30 juta itu perlu disegerakan bagi kemudahan pejalan kaki berulang-alik antara Malaysia ke Singapura.

“Kita nak mula rundingan untuk menentukan siapa yang akan bantu membiayai pembinaan laluan pejalan kaki berbumbung di Tambak Johor.

“Ini berikutan kos pembinaan laluan pejalan kaki berbumbung itu tidak termasuk dalam peruntukan RM85 juta yang disenaraikan dalam Belanjawan 2020 untuk atasi kesesakan di Tambak Johor.

“Kita nak runding dengan PLUS, kerajaan negeri dan Pusat berkaitan kos pembinaan sama ada boleh dikongsi bersama-sama atau ada cadangan lebih baik bagi menampung kos pembinaan berkenaan, ” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas lawatan ke Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Islandar (BSI), di Johor Bahru, hari ini.

Cadangan pembinaan pejalan kaki berbumbung itu adalah antara langkah jangka pendek penyelesaian kesesakan Tambak Johor yang dibincangkan menerusi Jawatankuasa Penyelarasan Keputusan Kabinet Menangani Kesesakan Tambak Johor yang dipengerusikan Muhyiddin.

Kesesakan Tambak Johor sebelum ini dilaporkan semakin kritikal dengan 70 peratus pelancong serta pelawat menggunakannya bagi memasuki negara ini sehingga ia disenaraikan sebagai laluan darat paling sibuk di dunia.

Sementara itu, Muhyiddin berkata, Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengambil alih pengurusan CIQ BSI di sini, sejak 1 Januari lalu.

Beliau berkata, sebelum ini CIQ BSI di bawah pengurusan Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Katanya, CIQ BSI akan menjalani kerja naik taraf dengan peruntukan RM85 juta yang disalurkan menerusi Belanjawan 2020.

“Kita akan tambah baik sistem pencahayaan di CIQ BSI membabitkan kos RM5 juta berikutan keadaannya yang agak gelap.

“Kementerian juga akan meningkatkan lagi kawalan kesesakan dengan penambahan anggota selain membaik pulih kemudahan lain termasuk tandas.

“Kita sedang kenal pasti skop kerja dan akan selesaikan kerja tambah baik CIQ BSI dalam tempoh tahun ini,” katanya.

Disiarkan pada: February 4, 2020 @ 3:12pm
d