mutakhir

Tunai solat Istisqa mohon hujan

Oleh Hamzah Osman

SERAMAI 130 jemaah menunaikan solat sunat Istisqa di Empangan Bukit Malut, Langkawi bagi memohon hujan berikutan cuaca panas yang melanda negara ini.

Solat sunat anjuran Taliworks Langkawi Sdn Bhd (Taliworks Langkawi) bermula 9.30 pagi hari ini dengan diimamkan Imam Masjid Al-Hana, Kuah, Nordin Osman.

Ia turut disertai pelajar Madrasah Tahfiz al-Quran al-Marjan dan kakitangan Taliworks Langkawi serta penduduk tempatan.

Pengurus Kanan Taliworks Langkawi, Hasbullah Hussin berkata, solat sunat itu sebagai kaedah memohon hujan kepada Allah SWT berikutan cuaca panas melanda negara ketika ini.

“Kita jangkakan pulau (Langkawi) ini bakal memasuki fasa kritikal bagi bekalan air bersih, jika tiada hujan sehingga awal Mac ini.

“Sekarang kita berada dalam fasa kurang bekalan dan belum memerlukan langkah mencatu air kepada pengguna,” katanya.

Turut hadir, Pengurus Wilayah Taliworks Langkawi, Amaran Abu Bakar.

Katanya, catuan air hanya dilakukan selepas mendapat kebenaran Syarikat Air Darul Aman (SADA) sekali gus memberi kesan kepada keseluruhannya 30,000 akaun pengguna.

Disiarkan pada: February 4, 2020 @ 3:33pm
d