mutakhir

Pengurus kilang didenda RM20,000

Oleh Zaid Salim

PENGURUS kilang didenda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu hari ini selepas didapati bersalah membuat penukaran hasil hutan tanpa pas pemindahan pada Julai 2018.

Hakim Noriah Osman membuat keputusan itu selepas tertuduh, Tan Ya Loon, 38, mengaku bersalah terhadap pertuduhan kepadanya dan berpuas hati dengan keterangan pihak pendakwaan serta pembelaan kes berkenaan.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dikenakan tambahan penjara selama dua bulan jika gagal membayar denda itu.

Mengikut pertuduhan, Tan didakwa membuat penukaran hasil hutan tanpa pemindahan yang sah di Kilang Kelas C Mat Isa Mamat (T1/2005) di Kampung Pelam, Telemong pada 10 pagi, 19 Julai 2018.

Menurut fakta kes, tertuduh membuat penukaran hasil hutan iaitu 110 tual kayu balak, 627 tual kayu jaras dan 20,898 keping kayu sedia pelbagai spesies tanpa membayar cukai.

Tertuduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 69 (1) Akta Perhutanan Negara1984 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 69 (3) (a) akta yang sama.

Disiarkan pada: February 4, 2020 @ 3:35pm
d