mutakhir

Tak sempat sambut hari jadi

Oleh Mohd Khidir Zakaria

SEORANG anggota tentera tidak sempat menyambut hari jadi minggu depan apabila maut selepas motosikal ditunggangnya melanggar belakang lori diparkir untuk kerja landskap di Jalan Bandar Springhill, Port Dickson, 3 petang semalam.

Mangsa, Koperal Mohd Ibnuur Najdaim Hamri, 32, masih beruniform tentera dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Taman Vista Jaya, kira-kira tiga kilometer dari tempat kejadian.

Penduduk di Taman Vista Jaya yang enggan dikenali berkata, mangsa baru berpindah ke taman itu dan bakal menyambut ulang tahun kelahiran pada 10 Februari ini.

“Mangsa sudah berkahwin dan belum mempunyai cahaya mata. Saya difahamkan dia baru sahaja berpindah ke sini dan berulang-alik ke tempat kerja di Kuala Lumpur sejak 200km sehari.

“Jarak rumah mangsa dari tempat kejadian tidak jauh sekitar 3km sahaja. Mungkin kerana keletihan, dia gagal mengelak lori diparkir pekerja landskap itu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, mangsa menunggang motosikal Honda Desh gagal mengelak lalu melanggar lori satu tan diparkir di situ.

“Hasil siasatan, lori itu diparkir di tepi jalan ketika pekerja menanam pokok dan mangsa dari arah Bandar SpringHill menghala ke Lukut adalah anggota tentera bertugas di Kem 93 RASD Kem Impal, Kuala Lumpur.

“Akibat perlanggaran itu, mangsa maut di tempat kejadian akibat parah di kepala dan mangsa di bawa ke Hospital Port Dickson bagi tujuan bedah siasat,” katanya.

Beliau berkata, pemandu lori dan dua penumpang sedang melakukan kerja menanam pokok ketika kejadian.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Disiarkan pada: February 4, 2020 @ 3:35pm
d