mutakhir

'Maaf ya...'

Oleh Nazri Abu Bakar

“MAAF, saya sudah tak boleh bantu lagi,” kata Borhan Benjamin Abdullah, bekas petugas sukarelawan yang sering membantu masyarakat miskin dan asnaf di sekitar Melaka sejak lebih 30 tahun.

Borhan, 62, kini uzur akibat komplikasi kencing manis, darah tinggi, penyakit jantung dan prostat sehingga terpaksa meninggalkan aktiviti sukarela serta hanya duduk di rumahnya di Taman Pulai Indah, Melaka.

Jika dulu, sebut sahaja nama Borhan, ramai orang mengenalinya berikutan dia amat pemurah, kerap membantu penduduk miskin, ibu tunggal dan orang kurang upaya (OKU) termasuk bagi mendapat sumbangan persekolahan atau urusan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Malah, dia menguruskan bantuan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) termasuk berkaitan peruntukan makanan asnaf, perbelanjaan bulanan selain rawatan hospital, kerusi roda, kes kahwin cerai, katil pesakit, lampin pakai buang kanak-kanak dan warga emas.

“Walaupun sudah meninggalkan bidang berkenaan termasuk bersara di MAIM sebagai pembantu Hal Ehwal Islam, masih ramai datang ke rumah untuk meminta proses bantuan tanpa mengira waktu.

“Malah, isteri saya, Senimah Ismail ingin sahaja menampal notis di pintu masuk rumah untuk menyatakan saya kini sudah tidak boleh membantu orang ramai lagi,” katanya yang pernah menjawat jawatan Penolong Pengusaha Sukarelawan Polis serta Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

Justeru, menurutnya, isterinya memberitahu orang ramai secara berhemah mengenai tahap kesihatannya termasuk sukar bergerak sehingga mengejutkan mereka.

Malah, katanya, matanya kabur sehingga terpaksa memakai kanta khas, sekali gus menghalangnya keluar membantu orang ramai dalam keadaan bertongkat dan tidak mampu memandu sendiri.

“Hati saya memberontak serta kasihan apabila tidak mampu membantu orang ramai lagi, tetapi apakan daya saya kini juga perlu dibantu.

“Saya tiada sumber pendapatan selepas bersara berikutan manakala anak tunggal masih belajar. Bantuan MAIM berbentuk makanan dan wang tunai RM200 tidak mencukupi untuk membeli ubat-ubatan dan perbelanjaan harian,” katanya.

Disiarkan pada: February 4, 2020 @ 4:57pm
d