mutakhir

Tahan tokan dadah tepi jalan

Oleh Dziyaul Afnan Abdul Rahman

POLIS menahan tiga lelaki disyaki tokan dadah di Jalan Kampung Padang Pauh, Beseri, Padang Besar.

Ketua Polis Daerah Padang Besar Superintendan Muhammad Halim Yatim berkata, mereka berusia 20 hingga 25 tahun ditahan ketika berada dalam kereta di jalan berkenaan pada 11.30 pagi semalam.

Katanya, pihaknya turut merampas 5.30 gram heroin dan 4.75 gram syabu bernilai RM782.

“Mereka yang memberhentikan kenderaan di tepi jalan dilihat dalam keadaan mencurigakan oleh sepasukan anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Besar.

“Selepas memperkenalkan diri, anggota melakukan pemeriksaan dan menemui 10 bungkusan kecil dengan empat daripadanya berisi heroin dan enam lagi berisi ketulan kecil kristal disyaki syabu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Muhammad Halim berkata, hasil pemeriksaan terhadap ketiga-tiga suspek mendapati mereka positif morfin dengan dua daripadanya mempunyai rekod jenayah lampau berkait dadah.

“Semua suspek direman tujuh hari bermula hari ini dan perintah tahanan reman dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Kangar, Monica Joseph Gaisah pagi tadi (hari ini),” katanya.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 39A (2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Disiarkan pada: February 4, 2020 @ 5:38pm
d