mutakhir

Ku kayuh selagi berdaya

Oleh Noor Hidayah Tanzizi

“SEBENARNYA satu mata (kiri) sudah tak nampak, tetapi saya akan berkayuh selagi berdaya. Kalau jumpa di jalan, jangan lupa hon sebagai tanda menegur.”

Begitu kata Berhanudin Mohd Alias, 76, atau Pak Yeob yang sering dilihat memakai topi keledar dan mengayuh basikal berhias di sekitar Seri Manjung, di sini, sejak lebih 15 tahun lalu.

Lebih istimewa, Pak Yeob akan mengayuh basikal dari rumahnya di Fasa 1A, Seri Manjung ke Kampung Sitiawan, Sitiawan sejauh lima kilometer untuk menziarah kubur arwah ibu bapa dan ahli keluarganya, hampir setiap hari.

Menurutnya, aktiviti mengayuh basikal sudah sebati dalam dirinya dan pernah mengayuh jarak jauh hingga ke Teluk Intan, Kampung Gajah dan Hutan Melintang ketika penglihatannya masih baik.

“Setiap hari saya akan kayuh basikal ke kedai untuk beli surat khabar dan minum pagi. Selepas Zuhur pula akan mengayuh ke Sitiawan untuk ziarah kubur.

“Mahu kayuh jauh sudah tak larat selain dilarang keluarga kerana bimbang keselamatan diri,” katanya yang juga pembaca setia akhbar Harian Metro dan Berita Harian.

Menurutnya, walaupun sudah berusia dan jarak penglihatan terbatas, tetapi dia tetap mengutamakan keselamatan ketika mengayuh basikal di jalan raya.

“Perlu berhati-hati ketika mengayuh dan pakai topi keledar, sarung tangan serta penutup hidung dan mulut. Penduduk sekitar juga selalu beri laluan, malah ada yang membantu Pak Yeob melintas jalan.

“Kalau tak mengayuh sehari badan rasa lenguh dan aktiviti ini dijadikan rutin senaman untuk kesihatan juga,” katanya yang masih bujang dan tinggal bersama adiknya, Khuzaimah, 72.

Disiarkan pada: February 4, 2020 @ 5:38pm
d