mutakhir

Ungkapan 'Sayang' terakhir suami

Oleh Mohd Khidir Zakaria

“DIA (arwah) ada hantar ucapan ‘Sayang’ dalam aplikasi WhatsApp pada pagi hari kejadian,” kata Nor Azlina Ngadewan, isteri kepada anggota tentera, Koperal Mohd Ibnuur Najdaim Hamri, yang maut dalam kemalangan di Jalan Bandar Springhill, Port Dickson, petang semalam.

Nor Azlina, 30, berkata arwah suaminya bersiap awal dan mula bertolak dari rumah mereka di Taman Vista Jaya pada 6.45 pagi untuk ke tempat kerjanya di Kem Imphal, Kuala Lumpur.

“Pada 9.40 pagi, dia ada WhatsApp saya hanya ucapan ‘Sayang’, tapi saya tak balas kerana sedang bekerja.

“Saya perasan pagi itu dia tidak banyak cakap sebelum pergi kerja, cuma mengadu kurang sihat dan sakit dada,” katanya ketika ditemui di rumahnya, hari ini.

Menurutnya, walaupun belum dikurniakan anak sepanjang enam tahun berkahwin, mereka bahagia dan beranggapan belum ada rezeki.

Katanya, arwah suaminya memang baik dan setiap hari sanggup berulang-alik ke tempat kerjanya di dua lokasi iaitu Kuala Lumpur dan Kajang.

“Pada hari kejadian (semalam), saya difahamkan arwah melanggar belakang lori kontraktor kerja landskap yang diparkir di tengah jalan menyebabkan dia parah di kepala, bahagian dalaman badan dan maut di tempat kejadian.

“Saya mungkin akan mengambil tindakan undang-undang bagi mencari keadilan untuk arwah suami.

“Bukan tujuan saya untuk mengambil kesempatan tetapi bagi memberi pengajaran kepada mana-mana pihak yang mengambil mudah soal keselamatan ketika menjalankan kerja di jalan raya.

“Buat masa sekarang saya masih bercuti bagi menenangkan diri. Bukan mudah bagi saya menerima kehilangan arwah secara tiba-tiba,” kata kakitangan Pejabat Koperasi Tentera Port Dickson itu.

Menurutnya, arwah suaminya sepatutnya meraikan ulang tahun kelahiran ke-32 pada 10 Februari ini.

Katanya, jenazah arwah suaminya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Senawang berhampiran rumah keluarganya, tengah malam tadi.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed mengesahkan kemalangan maut membabitkan anggota tentera selepas motosikal ditunggangnya melanggar belakang lori.

“Motosikal mangsa melanggar belakang lori diparkir untuk kerja landskap di Jalan Bandar Springhill menyebabkan mangsa maut di tempat kejadian.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Berita berkaitan

'Tak sempat sambut hari jadi'

Disiarkan pada: February 4, 2020 @ 6:15pm
d