mutakhir

Johor masih bekal air kepada Melaka - Exco

Oleh BERNAMA

KENYATAAN Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, Datuk Seri Idris Haron yang mendakwa kerajaan negeri Johor menghentikan bekalan air mentah ke Melaka adalah satu penipuan mengelirukan rakyat negeri ini.

Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kemudahan Awam Melaka, Datuk Mohd Sofi Abdul Wahab berkata, Johor tetap membekalkan air untuk rakyat negeri ini sehingga sekarang, malah semalam beliau melawat Stesen Pam Air Mentah Grisek bagi meninjau operasi mengepam air dari Sungai Muar ke Melaka.

“Dalam keadaan kita semua berusaha untuk menyelesaikan isu kekurangan bekalan air ini, ada pihak cuba menangguk di air keruh untuk memburukkan lagi keadaan, bukannya memberikan cadangan dan kritikan membina.

“Berpolitiklah secara matang, jangan menipu dan berbohong. Apa yang penting kita perlu membantu rakyat menghadapi perkara ini,” katanya menerusi kenyataan di Melaka, hari ini.

Bermula 29 Januari lalu, Melaka melaksanakan catuan bekalan air harian membabitkan 550,673 orang iaitu 62.8 peratus penduduk bagi memastikan bekalan air mencukupi bagi menghadapi cuaca panas kering dalam fasa kedua Monsun Timur Laut yang dijangka berakhir bulan hadapan.

Mohd Sofi berkata, RM6.35 juta dibayar kepada Johor bagi membekalkan air mentah untuk diproses bagi kegunaan rakyat negeri ini pada tahun lalu, peningkatan berbanding RM5.03 juta bagi 2018 dan RM3.61 juta bagi 2017.

Beliau berkata, pembelian air mentah dari Sungai Muar termaktub dalam Perjanjian Air Sungai Muar yang ditandatangani pada 10 Ogos 1991 dan melalui perjanjian itu Melaka boleh membeli air dari Johor dengan 160 juta liter sehari.

“Kerajaan Melaka bagi melaksana amanah menjaga rakyat negeri ini memohon pembelian tambahan (bekalan air mentah kepada Kerajaan Negeri Johor) menjadikan jumlah kapasiti air yang dibeli setiap hari adalah sebanyak 220 juta liter,” katanya.

Disiarkan pada: February 4, 2020 @ 6:41pm
d