mutakhir

Dadah nilai RM200,000 dirampas

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

POLIS menumpaskan sindiket pengedaran dadah selepas menahan enam warga tempatan termasuk dua wanita dan merampas pelbagai jenis dadah dianggar bernilai RM200,000 dalam dua serbuan di ibu kota, 1 Februari lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur Asisten Komisioner Adnan Azizon berkata, polis menahan lelaki berusia 33 tahun dalam sebuah kereta di Jalan Persiaran Lemak, Kuala Lumpur dalam keadaan mencurigakan jam 8.50 malam.

“Pemeriksaan di kereta dinaiki lelaki terbabit membawa kepada penemuan dadah disyaki syabu yang disorok di bawah tempat duduk pemandu.

“Hasil siasatan terhadap lelaki berkenaan polis kemudian menyerbu sebuah pangsapuri di Jalan Cheras Hartamas, jam 10.30 malam dan menahan tiga lelaki dan dua wanita berusia 16 hingga 38 tahun,” katanya.

Adnan berkata, pemeriksaan di rumah terbabit menemui ketamin (102 gram), pil Erimin 5 (130 biji) serta serbuk ekstasi (2,630 gram).

“Dadah berkenaan dianggarkan bernilai kira-kira RM200,000 dan dipercayai untuk diedarkan di pusat hiburan di sekitar Lembah Klang. Jumlah dadah ini boleh dibekalkan kepada 9,072 penagih,” katanya.

Menurutnya, hasil ujian saringan air kencing mendapati semua individu yang ditahan positif dadah.

“Semua suspek dipercayai bergiat aktif dalam kegiatan pengedaran dadah di sekitar Lembah Klang sejak tiga bulan lalu.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Disiarkan pada: February 4, 2020 @ 10:53pm
d