mutakhir

Dua rentung dalam kebakaran

Oleh BERNAMA

SEORANG wanita warga emas dan seorang orang kurang upaya (OKU) rentung dalam kebakaran yang memusnahkan dua rumah di Kampung Sekaan Kecil, Matu Daro di Mukah, kira-kira 660 kilometer (km), dari Kuching, awal pagi hari ini.

Mayat Sedah Sahari, 80-an, dan OKU yang dikenal pasti sebagai Remlah Mesie, 50-an, ditemukan di bahagian ruang tamu salah sebuah rumah yang terbabit pada 4.20 pagi selepas kebakaran itu dipadamkan.

Seorang lagi penghuni rumah itu, Abdul Razak Mesie, 40-an, mengalami sesak nafas dan empat lagi mangsa dari sebuah lagi rumah yang terbabit berjaya menyelamatkan diri dalam insiden yang dilaporkan pada jam 2.09 pagi, menurut maklumat dari Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak.

Kedua-dua mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Sepasukan lapan orang anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Daro bergegas ke tempat kejadian sejurus menerima laporan namun mendapati kedua-dua rumah itu musnah sama sekali sewaktu tiba di lokasi.

Disiarkan pada: February 5, 2020 @ 8:32am
d