mutakhir

Majlis Halal Negeri Johor pacu ekonomi umat Islam

Oleh Omar Ahmad

KERAJAAN negeri Johor menubuhkan Majlis Halal Negeri Johor dengan kerjasama agensi berkaitan bagi memacu inisiatif berkaitan halal dan pertumbuhan ekonomi dalam kalangan umat Islam.

Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal berkata, langkah itu bagi merealisasikan hasrat pembangunan Hab Halal Utama di Asia, selaras dengan Belanjawan Johor 2020.

Katanya Majlis Halal Negeri Johor ini akan bertindak sebagai ejen dalam melancarkan sebarang urus tadbir dan proses persijilan halal bagi produk dan industri halal di negeri ini.

“Selaras dengan Dasar Halal Negara, kerajaan negeri turut memberi penekanan dan menggandakan usaha bagi memperkasa industri halal di Johor.

“Kerajaan Negeri akan sentiasa komited dan terus berusaha membimbing usahawan atau bakal usahawan untuk lebih maju dan berdaya saing ke arah Usahawan Halal Global yang diteladani.

“Semua ini jelas membuktikan Kerajaan Negeri Johor melalui segala ruang mahupun platform akan memastikan syiar Islam terus berkembang di negeri ini, dan sentiasa diperkasakan dari masa ke masa,“ katanya di JohorBahru, semalam.

Menurut Dr Sahruddin, mengikut data Industri Pasaran Halal, pengguna halal dari seluruh dunia berbelanja lebih AS$1.2 trilion (RM4.95 trilion) untuk makanan dan minuman.

Manakala pada 2022, angka ini dijangka meningkat melebihi AS$1.9 trilion (RM7.83 trilion).

“Perkembangan industri halal ini juga amat pesat di Asia Tenggara dan Malaysia berada di kedudukan pertama dalam pasaran ekonomi halal dengan berbekalkan struktur ekosistem efisien dan lengkap berbanding negara lain,“ katanya.

Disiarkan pada: February 5, 2020 @ 11:18am
d