mutakhir

571 pakaian tiruan dirampas

Oleh Baharom Bakar

SEBANYAK 571 pakaian tiruan dirampas dalam dua serbuan serentak menerusi Op Jeriji di Hulu Terengganu dan Marang, semalam.

Operasi bermula jam 11 pagi hingga 3 petang itu mensasarkan dua premis pakaian hasil risikan dan aduan pemilik asal cap dagang.

Ketua Pegawai Penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Nor Azmi Lamisza berkata, dalam serbuan di premis pakaian di bandar Kuala Berang, pihaknya merampas 139 baju jersi dan 192 seluar sukan tiruan dianggarkan bernilai RM11,585.

“Selain itu, sebanyak 240 seluar tiruan bernilai RM8,400 dirampas dalam serbuan dilakukan di Bukit Payong, Marang.

“Dua lelaki dipercayai pemilik premis berusia 34 tahun dan 46 tahun turut ditahan dalam operasi itu,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 102 (1), (c), Akta Cap Dagang 2019.

Nor Azmi berkata, dua peniaga terbabit boleh dikenakan hukuman mengikut Seksyen 100 (1) (ii), Akta Cap Dagang 2019.

“Jika sabit kesalahan boleh dijatuhi hukuman denda sehingga RM10,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

“Jika melakukan kesalahan kedua, mereka boleh didenda sehingga RM20,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya,” katanya.

Disiarkan pada: February 5, 2020 @ 2:41pm
d