mutakhir

Op Selamat 16 catat peningkatan kemalangan, kematian

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

BERLAKU peningkatan dalam jumlah kemalangan dan kematian direkodkan dalam Op Selamat 16 sempena Tahun Baharu Cina bermula 18 Januari hingga 1 Februari.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Mazlan Mansor berkata, sebanyak 23,208 kes kemalangan dilaporkan sepanjang tempoh 14 hari operasi dijalankan.

“Op Selamat kali ini mencatatkan peningkatan kemalangan 2,379 kes atau 11 peratus berbanding 20,829 kes pada Op Selamat 14.

“Bagi kes kemalangan maut pula merekodkan peningkatan sembilan kes iaitu 206 kes pada tahun ini berbanding 197 kes pada tahun lalu.

“Jumlah kematian merekodkan peningkatan 230 kes atau enam peratus pada tahun ini berbanding 216 kes pada tahun lalu,” katanya pada Majlis Penganugerahan Kontinjen dan Daerah Terbaik Op Selamat 16 di Bukit Aman di sini, hari ini.

Mazlan berkata, penunggang dan pembonceng motosikal penyumbang kepada angka korban tertinggi iaitu 147 kematian direkodkan kali ini manakala 52 kematian bagi pengguna kereta.

Sepanjang operasi itu dijalankan, katanya, polis turut mengeluarkan saman atas pelbagai kesalahan membabitkan sebanyak 399,998 saman.

Tambah beliau, berdasarkan analisa dilakukan pihaknya mendapati sikap kecuaian pemandu dan penunggang motosikal menjadi penyumbang kepada berlakunya kemalangan.

“Faktor kecuaian dan kurang kesedaran terhadap aspek keselamatan jalan raya menjadi penyumbang kepada kes kematian membabitkan pejalan kaki.

“Manakala faktor kecuaian keluar masuk simpang, memasuki laluan bertentangan, cuba memotong kenderaan lain atau menukar laluan, mengekori kenderaan lain terlalu rapat, membuat pusingan U serta melawan aliran trafik adalah penyumbang utama kemalangan maut membabitkan kenderaan,” katanya.

Melihat kepada faktor itu, beliau berkata, pihaknya bersama beberapa agensi lain termasuk Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) akan menjalankan kajian bagi tujuan penambahbaikan dan kelancaran aliran trafik jalan raya pada masa hadapan.

Disiarkan pada: February 5, 2020 @ 3:17pm
d