mutakhir

Jangan cetuskan provokasi [METROTV]

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

POLIS memberi amaran dan akan mengambil tindakan kepada mana-mana individu yang cuba mencetuskan provokasi serta kekecohan ketika perarakan Thaipusam bermula Khamis ini.

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner S Shanmugamoorthy Chinniah berkata, seramai 700 pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur ditugaskan melakukan kawalan dan menjaga keselamatan ketika perarakan perayaan itu.

“Kawalan keselamatan bagi perarakan itu bermula pada Khamis ini hingga 10 Februari nanti membabitkan beberapa laluan serta kawasan dalam pentadbiran daerah Sentul.

“Sepanjang perarakan itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak mencetuskan provokasi dan kekecohan ketika perarakan berlangsung termasuk membuat bising serta mabuk di tempat terbuka.

“Kami tidak akan teragak-agak mengambil tindakan bagi kesalahan itu mengikut Kanun Keseksaan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, hari ini.

Shanmugamoorthy berkata, rombongan perarakan rombongan pergi ke Kuil Sri Maha Mariamman dijangka memasuki laluan serta kawasan pentadbiran Sentul antara 4 atau 5 pagi pada Khamis ini.

“Kawalan keselamatan di pihak kami (Sentul) bermula di laluan Jalan Tun Razak berhadapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Maxwell menuju ke Jalan Sultan Azlan Shah, persimpangan Pekan Batu 5 Jalan Ipoh, Jalan Kuching hingga ke Bulatan Batu Caves.

“Bagi perarakan pulang pula yang dijangka antara 6 petang hingga 10 malam pada 9 Februari ini, ia membabitkan laluan sama kecuali berlaku lencongan di Jalan Sultan Azlan Shah berhampiran Jalan Batu Kentomen dan (rombongan) akan keluar ke SMK (Perempuan) Jalan Ipoh,” katanya.

Katanya, pihaknya mendapat kerjasama daripada pihak Kuil Sri Maha Mariamman dan pihak pengurusan Transit Aliran Massa (MRT) memandangkan laluan perarakan turut membabitkan kawasan pembinaan MRT di Batu Kentomen.

Disiarkan pada: February 5, 2020 @ 4:11pm
d