mutakhir

Kandang lembu port transit ketum

Oleh Dziyaul Afnan Abdul Rahman

PASUKAN Gerakan Am (PGA) Briged Utara menyerbu kandang lembu yang dijadikan stor simpanan dan transit 1,800 kilogram daun ketum bernilai RM310,200 di Kampung Sena, Padang Besar, semalam.

Komander PGA Briged Utara, Senior Asisten Komisioner Abdul Ghani Mohd Ji berkata, dua lelaki tempatan berusia 23 dan 37 tahun ditahan dalam serbuan pada 10.45 malam itu.

Katanya, dua kereta yang disyaki digunakan untuk membawa daun ketum dan dua unit telefon bimbit serta alat penimbang turut dirampas.

“Berdasarkan maklumat risikan, PGA mengekori sebuah kereta dinaiki kedua-dua suspek sehingga ke kandang lembu di sebuah penempatan di daerah ini.

“Pihak kami mengepung kawasan terbabit dan memperkenalkan diri sebagai pihak berkuasa, dan kedua-dua suspek cuba melarikan diri tetapi gagal,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Abdul Ghani berkata, pemeriksaan di kawasan kandang menemui 76 guni berisi daun ketum dengan berat keseluruhan 1,800 kg.

“Suspek bersama barangan rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Besar untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952.

Disiarkan pada: February 5, 2020 @ 8:42pm
d