mutakhir

Ingat gempa bumi [METROTV]

Oleh Zuhainy Zulkiffli

SEBAHAGIAN struktur jejantas pejalan kaki setinggi lima meter di Pengkalan Weld, dekat Georgetown, senget dan hampir tercabut akibat dilanggar treler, hari ini.

Kejadian di hadapan Terminal Feri Pengkalan Raja Tun Uda itu menyebabkan kesesakan lalu lintas teruk di kedua-dua arah.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berkata, pihaknya ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan pada 4.29 petang.

“Pihak polis dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) yang berada di lokasi menutup jalan terbabit serta memasang sawar-sawar bagi menghalang orang awam memasuki kawasan kejadian.

“Tiada mangsa terbabit dalam kemalangan itu dan kes diambil alih pihak polis serta MBPP,” katanya kepada media, di Georgetown, hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, treler membawa jentera pengorek tanah itu dari Tanjung Bunga ke Butterworth dan dijadualkan ke Kuala Lumpur.

Katanya, sebelum itu, treler berkenaan sudah melepasi tiga jejantas iaitu berhampiran Flat Tanjung Tokong, Jalan Sultan Ahmad Shah dan Lebuh Farquhar sebelum melalui jejantas di Pengkalan Weld.

“Siasatan awal mendapati pemandu berusia 30-an tidak menyedari muatan yang dibawanya tersangkut ketika melalui kawasan itu.

“Dia kini ditahan bagi siasatan lanjut. Ujian saringan air kencing didapati negatif dadah dan kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya,” katanya.

Sementara, wartawan akhbar berbahasa Cina, yang dikenali sebagai Shan, 37, berkata, ketika kejadian dia berada di pejabat yang terletak bersebelahan jejantas berkenaan.

“Ketika sedang menyiapkan tugasan, kami dikejutkan dengan bunyi dentuman disertai gegaran kuat.

“Spontan saya fikir berlaku gempa bumi lalu saya serta rakan sekerja lain keluar dari pejabat untuk menyelamatkan diri,” katanya.

Disiarkan pada: February 5, 2020 @ 9:13pm
d