mutakhir

Cuba seludup 12,000 penutup mulut dan hidung

Oleh Abdul Rahemang Taiming

PASUKAN Polis Marin (PPM) merampas kira-kira 12,000 keping penutup mulut dan hidung bernilai RM4,800 yang cuba diseludup masuk secara haram melalui perairan Pelabuhan Tawau, petang tadi.

Rampasan dibuat menerusi Op Gelora oleh sepasukan anggota bot Ronda PGR 3 yang memintas sebuah bot penambang dalam keadaan mencurigakan sebelum ditahan untuk pemeriksaan jam 2.30 petang.

Komander Pasukan Polis Marin Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata, siasatan awal mendapati bot penambang itu dikendalikan lelaki Indonesia berumur 40 tahun dari arah Sungai Haji Kuning, di Pulau Sebatik menuju ke Pelabuhan Tawau.

Katanya, ketika pemeriksaan tiada seorangpun penumpang berada di bot berkenaan sebaliknya menemukan enam kotak besar yang mencurigakan.

“Sebaik dibuka, anggota kita mendapati di dalam kotak itu masing-masing berisi 200 kotak penutup mulut dan hidung jenama Onemed dan 40 kotak jenama Skineer dengan setiap satunya mengandungi 50 keping,” katanya dalam kenyataan media, malam ini.

Mohammad Pajeri berkata, hasil soal siasat mendapati juragan terbabit mendakwa barang itu milik penduduk tempatan selain memaklumkan dia hanya dibayar upah membawanya.

“Bagaimanapun, juragan gagal mengemukakan dokumen atau surat kebenaran daripada Jabatan Kastam Diraja Malaysia untuk membawa masuk barangan terbabit.

“Suspek ditahan kerana melakukan kesalahan membawa barang masuk ke Malaysia tanpa kebenaran pihak kastam dan kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967,” katanya.

Disiarkan pada: February 5, 2020 @ 10:27pm
d