mutakhir

Rokok seludup untuk pedalaman Sarawak

Oleh Mohd Roji Kawi

PENYELUDUP dikesan menggunakan kapal kargo untuk membuat penghantaran rokok seludup secara besar-besaran ke kawasan pedalaman Sarawak.

Taktik itu dikesan dalam pemeriksaan dan serbuan di Jeti Kapit dan stor milik syarikat perkapalan di Sibu, kelmarin.

Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sarawak, Datuk Sharifah Halimah Tuanku Taha berkata, hasil pemeriksaan itu, pihaknya merampas 500,000 batang rokok seludup dipercayai sedia untuk dihantar ke destinasi pedalaman.

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut mendapati rokok putih pelbagai jenama itu dianggarkan bernilai RM357,500.

“Rokok dalam 50 kotak besar itu tidak lulus kastam dan akan dipunggah menggunakan jeti awam.

“Kita percaya rokok diseludup masuk ke Sarawak melalui jalan laut dan akan dihantar ke peruncit di pedalaman Kapit dan Song dengan kapal kargo tempatan bagi mengelak dikesan pihak berkuasa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sharifah Halimah berkata, semua rokok disita dan dibawa ke pejabat penguatkuasaan Sibu untuk siasatan mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

Jika sabit kesalahan, pesalah boleh didenda denda tidak kurang dari 10 kali ganda amaun duti Kastam atau RM100,000.00 mengikut mana-mana amaun lebih besar dan tidak melebihi 20 kali ganda nilai amaun duti Kastam atau RM500,000 yang mana lebih tinggi atau penjara tidak kurang daripada enam bulan dan tidak lebih daripada lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Katanya lagi, JKDM akan terus memperhebatkan tindakan memerangi aktiviti penyeludupan dan meminta orang ramai untuk memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat penyeludupan ke Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855.

Disiarkan pada: February 6, 2020 @ 12:52pm
d