mutakhir

Padah cuba sogok

Oleh Melvin Joni

SERAMAI 10 individu ditahan dalam tempoh 1 Januari hingga 4 Februari kerana merasuah pasukan keselamatan dan penguat kuasa sempena Ops Bersepadu Khazanah dan Ops Libas.

Komander Briged Pasukan Gerakan Am (PGA) Sarawak, Datuk Khaw Kok Chin berkata, mereka yang ditahan membabitkan tiga lelaki tempatan dan tujuh warga asing (lima lelaki dua wanita).

Katanya, satu kes dicatatkan dalam Ops Bersepadu Khazanah membabitkan cubaan menyogok sebanyak RM7,000.

“Dua kes dalam Ops Libas membabitkan nilai yang disogok sebanyak RM10,180,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PGA Sarawak di sini, semalam.

Kok Chin berkata, pihaknya turut merekodkan nilai rampasan berjumlah lebih RM10 juta menerusi Ops Awas, Ops Bersepadu Khazanah dan Ops Libas.

Katanya, ia membabitkan rampasan ke atas kenderaan, pelbagai jenis burung, kucing hutan, kayu gaharu, sugar glider, kayu balak dan lain-lain.

“Rampasan burung merekodkan nilai tertinggi lebih RM1 juta diikuti kayu gaharu bernilai RM900,000,” katanya.

Beliau berkata, seramai 105 rakyat tempatan dan 29 warga asing ditahan atas pelbagai kesalahan.

Ops Awas, Ops Bersepadu Khazanah, Ops Libas dan Ops Batas adalah dijalankan oleh PGA Sarawak di seluruh negeri membabitkan kerjasama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Sarawak Forestry Corporation (SFC) termasuk Jabatan Kastam Diraja Malaysia.

Disiarkan pada: February 6, 2020 @ 2:11pm
d