mutakhir

Kebakaran depoh DBKL rugi RM20,000

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

KEBAKARAN 30 kereta di Depoh Simpanan Kenderaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di Taman Connaught, di sini, semalam, mengakibatkan kerugian dianggarkan berjumlah kira-kira RM20,000.

Pengarah Jabatan Penguatkuasaan DBKL Azmi Abdul Hamid berkata, sebanyak 30 kereta buruk dan tersadai dianggarkan bernilai RM20,000 yang disimpan dalam depoh itu musnah akibat kebakaran berkenaan.

“Siasatan bagi mengenal pasti punca kebakaran itu diserahkan kepada bomba dan polis untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi, hari ini.semalam.

Azmi berkata, depoh simpanan kenderaan itu masih beroperasi seperti biasa memandangkan kebakaran berkenaan hanya membabitkan sebahagian kecil kawasan terbabit.

“Tindakan pantas bomba mengawal kebakaran itu berjaya menghalang api merebak ke kawasan sekitar sekali gus mengakibatkan lebih banyak kemusnahan harta benda.

“Buat masa ini, kerja-kerja pembersihan sedang dijalankan. Kebakaran yang berlaku tidak menjejaskan operasi depoh simpanan berkenaan,” katanya.

Sebelum itu, bomba terima panggilan mengenai kebakaran itu pada jam 8.04 malam dan jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Tun Razak, Cheras, Sentul serta Hang Tuah membabitkan kekuatan 41 anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.

Api dapat dikawal dan dipadam sepenuhnya pada jam 10.18 malam.

  • Berita berkaitan

    30 kereta terbakar

  • Disiarkan pada: February 6, 2020 @ 2:36pm
    d