mutakhir

Dadah RM430,000 dirampas

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

MENYAMAR sebagai pelancong bagi memudahkan kegiatan pengedaran dadah.

Itu modus operandi dua lelaki warga India yang aktif mengedarkan dadah di ibu kota.

Bagaimanapun kegiatan mereka berjaya dihidu sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kuala Lumpur dan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul selepas menahan dua lelaki berkenaan, Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner S Shanmugamoorthy berkata, dua suspek berkenaan berjaya ditahan di Jalan Pantai Murni pada jam 4.35 petang hasil risikan pihaknya.

“Pemeriksaan terhadap dua lelaki berusia 24 dan 26 tahun itu menjumpai dadah ketamin seberat kira-kira 4 kilogram (kg).

“Soal siasat terhadap suspek membawa kepada serbuan susulan di sebuah kondominium di Pantai Dalam, Kuala Lumpur,” katanya pada sidang media di IPD Sentul, hari ini.

Shanmugamoorthy berkata, pemeriksaan lanjut di kediaman berkenaan menemui dadah jenis ketamin dianggarkan seberat 4.5 kg dan syabu 950 gram di ruang tamu kediaman terbabit.

“Nilai rampasan keseluruhan dadah berkenaan berjumlah RM430,000. Polis turut menyita wang tunai RM500 dan sebuah motosikal jenis Yamaha Ego.

“Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek aktif mengedar dadah sejak tiga bulan lalu di sekitar Lembah Klang.

“Polis juga percaya suspek menyewa kondominium terbabit sebagai tempat pembungkusan dadah,” katanya.

Menurutnya, polis sedang mengesan rangkaian dan dalang dipercayai terbabit dalam kes ini.

“Kedua-dua suspek kini direman selama tujuh hari sehingga Isnin depan untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Disiarkan pada: February 6, 2020 @ 5:34pm
d