mutakhir

'Alhamdulillah, kampung kami ada air'

Oleh Hassan Omar

“ALHAMDULILLAH, sejak catuan air dijalankan 29 Januari lalu, kampung kami tetap ada air walaupun alirannya perlahan, tidak seperti sebelum catuan dibuat.

“Bagaimanapun, kami tetap mengambil langkah berhati-hati menadah air dalam banyak bekas bagi mengelakkan ketiadaan air jika air dicatu,” kata Nuradlina Ahmad, 24.

Penduduk Kampung Ramuan Cina Kecil, Lubok Cina, Alor Gajah itu antara ribuan penduduk Lubok Cina yang ‘terselamat’ daripada catuan air dilaksanakan kerajaan negeri sejak 29 Januari lalu.

Katanya, penduduk kampung itu tidak mengalami masalah untuk membasuh pakaian, pinggan mangkuk, mandi dan seumpamanya kerana menerima bekalan air walaupun perlahan berbanding sebelum ini.

“Setakat ini kami bernasib baik tetapi yang akan datang, kami belum tentu akan mendapat bekalan air kerana kerajaan negeri akan melaksanakan catuan air fasa kedua mulai Isnin depan hingga akhir bulan,” katanya ketika ditemui di kediamannya hari ini.

Penduduk Kampung Sungai Jerneh, Norini Isha, 57, berkata penduduk kampung itu tidak menghadapi masalah untuk menjalani kehidupan harian berikutan tidak terbabit dalam catuan berkenaan.

“Alhamdulillah, sebelum catuan bermula, saya dan anggota keluarga sudah membeli tong air dan menadahnya untuk menghadapi catuan tetapi alhamdulillah kami dapati bekalan air tetap ada walaupun kecil,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Syarikat Air Melaka Bhd (SAMB), Datuk Halim Bachik berkata, kawasan berkenaan mendapat bekalan air kerana lokasinya hampir dengan Rembau, Negeri Sembilan, satu daripada negeri yang membekalkan air kepada Melaka melalui kerjasama antara kedua-dua kerajaan negeri.

Ketua Menteri, Adly Zahari dilaporkan berkata, sekarang Melaka hanya membeli bekalan air terawat dari Negeri Sembilan dalam kapasiti rendah 11,400 meter padu sehari, berbanding bekalan air mentah dari Johor 220 juta liter sehari.

Sehubungan itu kerajaan negeri bercadang mendapatkan bekalan air mentah dari Negeri Sembilan pada masa akan datang bagi menampung masalah kekurangan air di empangan utama di Melaka.

Disiarkan pada: February 6, 2020 @ 5:55pm
d