mutakhir

Sindiket rokok seludup tumpas

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

POLIS menumpaskan sindiket pengedaran rokok seludup susulan penahanan empat lelaki tempatan dalam dua serbuan berasingan di Cheras dan Rawang, semalam.

Turut dirampas 19,750 karton rokok pelbagai jenama bernilai RM3.4 juta.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, suspek warga tempatan berusia 41 hingga 57 tahun itu dipercayai aktif menyeludup rokok dan mengedarkannya ke seluruh negara.

“Rokok berkenaan diletakkan di sebuah rumah yang dijadikan stor.

“Polis turut merampas wang tunai RM50,000; dua lori dan dua kereta iaitu Toyota Estima serta Proton Wira,” katanya.

Acryl Sani berkata, semua nilai rampasan dianggarkan bernilai RM3.4 juta termasuk kenderaan yang dirampas.

“Tiga daripada suspek direman lima hari bermula hari ini sehingga 10 Februari.

“Sementara, seorang lagi suspek akan direman selama 14 hari sehingga 19 Februari ini.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(D)&(E) Akta Kastam 1967,” katanya.

Disiarkan pada: February 6, 2020 @ 9:03pm
d