mutakhir

'Keldai akaun' akhirnya ditahan

Oleh Siti Azila Alias

TINDAKAN operator kilang menjual akaun bank miliknya kepada sindiket penipuan parcel scam mengundang padah apabila dia ditahan polis, semalam.

Wanita berusia 59 tahun berasal dari Kulai Jaya, Johor itu ditahan di hadapan sebuah premis di Taman Teknologi Johor dekat Senai menerusi Op Mule Account oleh Bahagian Siasatan Jenayah Komersial (BSJK) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Barat Daya, jam 7.45 malam.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan A A Anbalagan berkata, suspek ditahan susulan laporan dibuat seorang wanita berusia 29 tahun yang kerugian RM1,500 selepas menjadi mangsa penipuan sindiket kononnya mahu menghantar bungkusan dari luar negara milik arwah abangnya pada 15 April tahun lalu.

Katanya, mangsa yang juga pengasuh dan tinggal di Kulim pada mulanya menerima pesanan melalui Facebook daripada seorang individu yang mengaku rakan arwah abangnya dan memberitahu akan menghantar barang ke Malaysia.

“Individu itu memaklumkan, barang terbabit akan tiba pada 16 April 2019 dan meminta mangsa supaya membayar RM1,500 kononnya bagi urusan kurier.

“Tanpa ragu, suami mangsa memasukkan wang terbabit ke dalam satu akaun diberikan suspek yang mana ia atas nama seorang wanita, pada 16 April, jam 12.41 tengah hari,” katanya dalam satu kenyataan.

Anbalagan berkata, mangsa bagaimanapun mengesyaki ditipu apabila dia diminta untuk memasukkan lagi RM5,100 atas alasan barangan terbabit mengandungi wang.

Katanya, polis yang menjalankan siasatan selama hampir setahun kemudian berjaya menjejaki pemilik akaun bank berkenaan dan ditahan.

Menurut beliau, soal siasat terhadap wanita itu memberitahu berkenalan dengan seorang lelaki melalui Facebook sejak 2018.

“Wanita itu memberitahu dia kemudian menyerahkan kad ATM miliknya dengan cara pos ke satu alamat di Kepong, Selangor dan menerima bayaran RM200 sebagai upah,” katanya.

Anbalagan berkata, suspek yang kini direman dijangka akan dituduh di Mahkamah Balik Pulau esok mengikut Seksyen 29(1) Akta Kesalahan – Kesalahan Kecil 1955.

Sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM 1000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-dua sekali.

Beliau dalam pada itu menasihati orang ramai supaya menjual akaun kepada individu tidak dikenali atau sindiket yang akhirnya menggunakan akaun itu bagi tujuan lain.

“Dalam hal ini, pemegang akaun yang akan dipertanggungjawabkan bagi segala aktiviti dalam akaun mereka. Jangan kerana upah hanya ratusan ringgit anda yang akhirnya akan menanggung akibat,” katanya.

Disiarkan pada: February 6, 2020 @ 11:50pm
d