mutakhir

Geng Wong Rompong tumpas

Oleh Abnor Hamizam Abd Manap

POLIS menumpaskan kumpulan pecah kedai dobi dikenali Wong Rompong dengan penahanan dua ahlinya.

Ketua Polis Daerah Jempol Superintendan Mohd Khairiel Mohd Arif berkata, dalam kejadian jam 1.20 pagi Ahad lalu, suspek berusia 35 dan 37 tahun memecah mesin token di sebuah kedai dobi di Pusat Perniagaan Jempol di Jempol.

Menurutnya, kejadian disedari pemilik kedai dobi selepas penggera di premisnya berbunyi sebelum membuat pemeriksaan dan mendapati duit dalam mesin token sudah tiada.

“Bertindak atas laporan dan pemeriksaan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), polis memburu suspek dan berjaya menangkap mereka di sebuah rumah di FELDA Serting Hilir pada jam 1.20 tengah hari, pada Ahad.

“Siasatan lanjut membawa kepada penahanan seorang lelaki warga India berusia 48 tahun di Cheras pada jam 5.45 petang kerana membeli barang curi dijual suspek,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Jempol di sini, hari ini.

Mohd Khairiel berkata, polis merampas wang tunai, telefon bimbit, tong gas, sebuah kereta, pemutar skru, dan besi pahat.

Katanya, hasil siasatan mendapati suspek turut terbabit dengan empat kes pecah kedai dobi di Kuala Pilah dan bergiat aktif sejak Januari lalu.

“Suspek bergiat aktif pada tengah malam dan awal pagi dengan mensasarkan kedai dobi yang terletak di kawasan terpencil. Soal siasat mendapati suspek melakukan kegiatan berkenaan bagi membeli dadah,” katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Disiarkan pada: February 7, 2020 @ 9:45am
d