mutakhir

Penyanyi lagu Selagi Ada Rindu terlantar sakit

Oleh Noorazura Abdul Rahman

PENCIPTA dan penyanyi lagu Selagi Ada Rindu, Shafie Ahmad, 54, atau lebih dikenali sebagai Pak Long kini terlantar sakit akibat demam panas.

Menurut anaknya, Nur Muhammad Idhoffy, 18, bapanya kini dirawat di Hospital Sik di sini, sejak 25 hari lalu selepas demamnya tidak kebah.

“Saya setia menjaga Abah di sini (hospital), Abah tidak berselera makan menyebabkan berat badannya susut mendadak.

“Sehingga sekarang pelbagai ujian darah sudah dilakukan namun masih tidak menemui penyakit sebenar Abah, minggu depan Abah akan jalani imbasan tomografi berkomputer (CT Scan). Jika masih tiada sebarang penyakit ditemui, kami akan ikhtiar untuk menjalani perubatan Islam pula,” kata anak kelima daripada tujuh beradik itu.

Idhoffy berkata, bapanya tidak mempunyai sejarah penyakit kronik sebelum ini kecuali mengidap kencing manis yang masih terkawal.

“Abah tidak bermaya dan hendak ke bilik air pun terpaksa dipapah,” katanya.

Menurutnya, Abah mula demam sejak berpindah ke Sik Januari lalu.

“Kami berpindah ke Sik kerana Abah mahu mencari ilham untuk mencipta lagu dalam suasana kampung.

“Apabila terlantar (sakit), Abah membatalkan semua jemputan menyanyi di seluruh negara, dalam masa yang sama usaha Abah untuk melancarkan single album terbaharunya Demi Mu Kasih turut terbantut,” katanya.

Idhoffy juga turut meluahkan rasa kecewanya apabila terdapat pihak yang tidak bertanggungjawab membuat berita palsu bahawa bapanya sudah meninggal dunia.

“Sebelum Abah jatuh sakit, beliau aktif mencipta lagu, saya sekeluarga mengharapkan semua peminat serta rakan seperjuangan Abah dapat mendoakan Abah kembali sembuh seperti sedia kala agar dapat meneruskan perjuangan beliau menghasilkan karya dan menghiburkan peminatnya,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Selain terkenal dengan lagu Selagi Ada Rindu, Pak Long turut dikenali menerusi lagu Cinta Pantai Merdeka dan mencipta lagu Al Jannah nyanyian Mawi.

Disiarkan pada: February 7, 2020 @ 9:51am
d