mutakhir

Sambung ops cari nelayan bot karam

Oleh Hamzah Osman

OPERASI mencari dan menyelamat (SAR) nelayan dikhuatiri lemas selepas bot dinaiki karam di Tanjung Chinchin, Rabu lalu diteruskan hari ini.

Timbalan Pengarah Operasi Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Kapten Maritim Zulinda Ramly berkata, SAR disambung 7.30 pagi hari ini, selepas dihentikan 7.30 malam tadi.

Katanya, dalam kejadian 4.30 petang Rabu lalu, dua awak-awak terselamat, manakala seorang dikhuatiri lemas selepas bot dinaiki mereka karam dilanggar bot minyak ketika berlabuh 0.5 batu nautika barat Tanjung Chinchin.

“Tiga awak-awak menaiki bot nelayan tempatan kelas C berdaftar di Kuala Perlis itu adalah warga Thailand dan identiti mereka belum dikenal pasti.

“Pemilik bot membuat laporan polis di Balai Polis Kuala Perlis pada hari kejadian,” katanya dalam satu kenyataan.

Zulinda berkata, pemilik bot jugamenghantar beberapa lagi bot miliknya untuk melakukan pencarian awal di lokasi kejadian.

“Sub-Pusat Menyelamat Maritim (MRSC) mengaktifkan operasi SAR pada 5.30 petang hari kejadian sebelum disambung semalam,” katanya.

Operasi disertai Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Balai Bomba dan Penyelamat Langkawi.

Beliau berkata, operasi SAR yang disambung mulai 7.30 pagi ini turut disertai pasukan penyelam yang tiba malam tadi.

Disiarkan pada: February 7, 2020 @ 10:29am
d