mutakhir

Keluarga lapor AADK mohon selamatkan anak

Oleh Noor Hidayah Tanzizi

BAGI membebaskan anak mereka dari belenggu dadah, dua keluarga di Teluk Intan membuat aduan kepada Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).

Rentetan aduan berkenaan, AADK Hilir Perak segera melancarkan Ops Aduan bermula 10 pagi semalam dan berakhir 2 pagi tadi dengan penahanan dua remaja terbabit selain dua lagi lelaki berusia 17 hingga 40 tahun.

Difahamkan, remaja berusia 17 tahun hanya bersekolah sehingga tingkatan satu sebelum berhenti dan dipercayai sudah beberapa tahun terbabit dalam penyalahgunaan dadah.

Ketua Pegawai AADK Hilir Perak, Najmiah Hanafi berkata, pihaknya menahan empat lelaki di sekitar Teluk Intan, Kampung Bahagia dan Langkap hasil aduan diterima.

“Ujian saringan awal air kencing yang dijalankan mendapati semua individu berkenaan positif dadah termasuk dua remaja berusia 17 dan 19 tahun yang masing-masing positif ganja dan methaphetamine.

“Bagaimanapun tiada rampasan dadah dalam operasi itu dan mereka ditahan mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (APD) 1983 untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Najmiah berkata, selain masyarakat setempat, ibu bapa juga disarankan untuk memberikan kerjasama kepada AADK supaya ahli keluarga yang terbabit dengan dadah dapat diberikan rawatan pemulihan.

“Jika ada ahli keluarga yang menunjukkan tanda mencurigakan boleh mendapatkan advokasi dan khidmat nasihat daripada AADK,” katanya.

Disiarkan pada: February 7, 2020 @ 11:10am
d