mutakhir

Ramli dilantik Pengarah JSJN Bukit Aman [METROTV]

Oleh BERNAMA

DATUK Ramli Din dilantik Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman yang baharu menggantikan Datuk Mohd Khalil Kader Mohd.

Mohd Khalil bersara wajib pada Ahad ini selepas 38 tahun berkhidmat dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Majlis serah terima tugas jawatan nombor satu dalam JSJN itu disaksikan Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador di Bukit Aman, hari ini.

Abdul Hamid berkata, Mohd Khalil adalah seorang pegawai kanan PDRM yang cemerlang dan telah membuat pelbagai transformasi dalam JSJN.

Beliau berkata, JSJN membawa pelbagai kejayaan dalam membanteras penyalahgunaan dadah di negara ini sehingga mendapat perhatian daripada pihak kerajaan.

“Beliau (Mohd Khalil) seorang pegawai kanan yang mempunysai integriti dan dedikasi yang tinggi dalam PDRM.

“Saya beruntung dapat pegawai kanan seperti beliau dan beliau seorang pegawai yang menyenangkan sesiapa yang berinteraksi dengannya,” katanya ketika berucap pada majlis itu.

Mohd Khalil yang berasal dari Seremban, Negeri Sembilan menyertai PDRM pada 1982 dan menjawat pelbagai jawatan penting antaranya Komander Unit Peronda Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Setiausaha PDRM, Ketua Polis Daerah Putrajaya dan Ketua Polis Johor.

Disiarkan pada: February 7, 2020 @ 11:11am
d