mutakhir

Tembak akibat masalah peribadi

Oleh Juwan Riduan

POLIS mengesahkan motif di sebalik kejadian lelaki melepaskan tembakan di Kampung Lok Urai, Pulau Gaya, kelmarin disebabkan masalah peribadi.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, berdasarkan siasatan sebelum kejadian itu, suspek berusia 30-an mengeluarkan perkataan ugutan kepada mangsa berusia 36 tahun.

“Kemungkinan besar di antara mangsa dengan suspek lebih bermotifkan peribadi disebabkan sebelum kejadian tembakan itu, suspek mengugut mangsa dengan kata: ‘Jika kau berani, keluar’ sebelum suspek melepaskan tembakan.

“Ketika itu, suspek berada di perahu manakala mangsa berada di atas jambatan di Kampung Lok Urai dan berlaku tembakan terus menuju ke arah mangsa dalam jarak 10 ke 15 meter,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Program Watikah Pelantikan Pengawas di Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Gaya, Kota Kinabalu, hari ini.

Mengulas lanjut berhubung kedudukan suspek, Habibi berkata, identiti suspek sudah dikenal pasti sebagai Kacang@ Munding dan dia masih berada di Pulau Gaya.

“Suspek masih di situ (sekitar Pulau Gaya), tidak keluar lagi dan kita sedang memburu suspek terbabit.

“Operasi bersepadu sedang dilakukan dengan kerjasama semua elemen dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) terutama Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu dan kerjasama Bahagian Siasatan Jenayah Khas (D9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah dan dibantu Pasukan Polis Marin (PPM),” katanya.

Sementara itu, Habibi meminta masyarakat yang melihat suspek supaya memberi kerjasama dengan memaklumkan kepada bilik gerakan IPD Kota Kinabalu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.

Dalam kejadian 7 malam kelmarin, suspek menembak tiga lelaki termasuk dua kanak-kanak di atas jambatan Kampung Lok Urai, Pulau Gaya.

Dua mangsa berusia 36 dan 10 tahun parah manakala seorang lagi kanak-kanak berusia tiga tahun cedera.

Berita berkaitan:

  • Suspek sembunyi di Kampung Pondo [METROTV]
  • Kepung lokasi suspek
  • Kanak-kanak cedera ditembak
  • Disiarkan pada: February 7, 2020 @ 11:31am
    d