mutakhir

Tidak mengaku memandu bawah pengaruh dadah, alkohol

Oleh Siti Azila Alias

PENJUAL daging mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, Balik Pulau, hari ini atas tuduhan memandu di bawah pengaruh minuman memabukkan atau dadah hingga menyebabkan kecederaan parah ke atas ‘marshal’ acara maraton pada 2018.

Tertuduh, Tan Boon Pew, 36, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa di hadapan Majistret Nur Azzuin Abdul Moati.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memandu kereta ketika berada di bawah pengaruh minuman yang memabukkan atau dadah sehingga menyebabkan dia tidak berdaya mengawal kenderaan seterusnya menyebabkan kecederaan parah.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Jalan Sultan Azlan Shah, Balik Pulau pada 4.10 pagi, 9 Disember 2018.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 44 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) dan boleh dihukum di bawah seksyen sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda maksimum, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Rais Imran Hamid manakala, tertuduh diwakili peguam Willie Ong.

Terdahulu, Rais Imran memohon mahkamah mengenakan jaminan sebanyak RM10,000 dan menetapkan tarikh bagi serahan dokumen.

Bagaimanapun, Willie memohon mahkamah mengurangkan jaminan atas alasan anak guamnya perlu menanggung ibu bapa selain mempunyai pendapatan bulan RM2,500.

Nur Azzuin kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin dan lesen memandunya digantung sehingga kes selesai.

Tarikh sebutan semula kes ditetapkan pada 21 Februari depan.

Dalam kejadian itu, kereta dipandu Tan merempuh motosikal ditunggangi marshal acara maraton ‘Penang Amateur Athletic Association (PAAA) Annual Round The Island Relay’ bersama seorang pelajar tingkatan empat.

Kejadian menyebabkan penunggang motosikal, Lee Foo Beng, 51, parah di kepala, manakala pemboncengnya, pelajar lelaki yang juga peserta maraton patah kaki.

Disiarkan pada: February 7, 2020 @ 12:09pm
d