mutakhir

PPSMI perlu penelitian lebih mendalam

Oleh Nor Fazlina Abdul Rahim

PENGAJARAN dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) di sekolah memerlukan penelitian yang lebih mendalam serta menyeluruh.

Bekas Penasihat Sosio Budaya Kerajaan, Tan Sri Dr Rais Yatim berkata, penelitian perlu dilakukan dengan mengambil kira latar belakang pendidikan negara dan Perlembagaan Malaysia selain Akta Bahasa Kebangsaan 152 dan Akta Pendidikan.

Katanya, Akta Pendidikan khasnya mewajibkan pengajaran semua subjek dalam bahasa kebangsaan.

“Jadi, sekiranya Matematik dan Sains diajar dalam Bahasa Inggeris, ia perlu disegmenkan iaitu diajar dalam harakat dan peringkat tertentu dalam Bahasa Inggeris, tidak boleh semuanya sekali gus.

“Kemahiran Bahasa Inggeris tidak boleh dicapai dengan pengajaran Matematik dan Sains. Murid Melayu perlulah belajar Bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua, bukannya menerusi Matematik dan Sains begitu sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika hadir pada Majlis Sepakat Anak Seni di Kota Bharu, hari ini.

Rais berkata, ketika isu ini dibangkitkan pada 2003, mereka berpendapat Kementerian Pendidikan (KPM) perlu menjurus kepada bina dan keutuhan bangsa dengan Bahasa Melayu.

“Sekiranya Bahasa Inggeris diberi tahap tinggi, Bahasa Melayu akan berada di paras bawah,” katanya.

Mengulas lanjut, Rais yang juga Ahli Majlis Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) berkata, kerajaan perlu terus berusaha menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu.

Katanya, dalam konteks itu, perancangan komprehensif harus dibuat dan beliau memohon supaya PPSMI tidak dilihat dari sudut politik.

“Saya menyarankan kedudukan Bahasa Melayu sebagai tiang seri tamadun kita didokong. Tidak pula saya kata Matematik dan Sains tidak boleh diajar dalam Bahasa Inggeris.

“Boleh diajar tetapi menerusi segmen dan pilihan. Terserah kepada KPM untuk memberi perhatian secara profesional dan tidak boleh membuat pengumuman begitu sahaja mengikut selera politik,” katanya.

Sebelum ini Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dilaporkan berkata, Kerajaan belum membuat sebarang keputusan untuk pelaksanaan PPSMI di sekolah.

Beliau dipetik berkata, kerajaan sudah menubuhkan satu jawatankuasa kecil untuk meneliti pelaksanaan semula PPSMI dan keputusannya akan dibuat secepat mungkin.

Disiarkan pada: February 7, 2020 @ 2:58pm
d