mutakhir

Kemalangan bongkar kegiatan seludup rokok

Oleh Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

KEMALANGAN dua kenderaan di Kilometer 20 Jalan Bukit Merah, dekat Bagan Serai Rabu lalu membongkar kegiatan penyeludupan 40,800 kotak rokok seludup bernilai RM 91,000.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob berkata, kemalangan pada 11.30 pagi itu van Toyota Hiace yang terbabas dan melanggar kenderaan utiliti sukan SSangyong.

Bagaimanapun, katanya, kejadian itu tidak menyebabkan sebarang kecederaan pada kedua-dua pemandu.

Susulan itu, katanya, van dipandu lelaki berusia 32 tahun dibawa ke Pejabat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian untuk siasatan lanjut.

“Hasil pemeriksaan mendapati van itu menggunakan nombor pendaftaran palsu yang didaftarkan atas sebuah motosikal.

“Pemeriksaan lanjut di dalam kenderaan itu menemui 3,400 karton atau 40,800 kotak rokok berjenama John White, John Britain, John JGI dan John Blend.

“Nilai rokok seludup yang dirampas dianggarkan bernilai RM 91,000 dan mampu dijual dipasarkan dengan harga RM 181,000,” katanya dalam satu sidang media di IPD Kerian, hari ini.

Omar berkata, kesemua rokok itu dipercayai cuba dipasarkan di beberapa daerah seperti Kerian, Taiping dan Selama.

Menurutnya, suspek sudah ditahan dan siasatan lanjut berhubung kejadian termasuk dari mana bekalan rokok seludup itu diperoleh masih dijalankan.

“Hasil ujian saringan air kencing juga mendapati suspek positif morfin dan suspek kini ditahan reman sehingga esok, “katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967, Seksyen 108 (3) (f) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Rule 10 LN 166/59.

Disiarkan pada: February 7, 2020 @ 3:08pm
d