mutakhir

Catuan air: Kawasan industri, pelancongan terbabit

Oleh Hassan Omar

CATUAN bekalan air fasa kedua di seluruh Melaka mulai Isnin ini hingga 23 Februari depan akan turut membabitkan kawasan perindustrian dan pusat pelancongan berbanding dikecualikan sebelum ini.

Bagaimanapun, Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, hospital tetap dikecualikan daripada langkah berkenaan bagi memastikan pesakit mendapat bekalan air dan pelbagai tugas membabitkan penggunaan air berjalan seperti biasa.

Beliau berkata, langkah berkenaan terpaksa diambil bagi memastikan bekalan air mencukupi bagi menghadapi cuaca panas dalam fasa kedua Monsun Timur Laut yang dijangka berakhir bulan depan.

“Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) sudah berjumpa dengan semua wakil industri dan perhotelan serta pusat pelancongan untuk menjelaskan mengenai langkah ini dan mereka mempunyai tangki air mampu menyimpan air untuk kegunaan dalam tempoh tertentu.

“Bagi mereka yang tidak ada tangki air, boleh berbincang lanjut dengan SAMB untuk mendapatkan bekalan air,” katanya selepas menyampaikan bantuan kepada mangsa kemalangan jalan raya, Muhammad Akif Darwish, 5, di Taman Melaka Baru, Batu Berendam, Melaka, hari ini.

Sumbangan RM2,000 disampaikan kepada ibu bapa kanak-kanak terbabit, Nurul Nadia Abdullah, 22, dan Mohd Izwan Abdullah, 32.

Muhammad Akif patah kedua-dua kaki selepas motosikal diboncengnya terlanggar lembu di Kampung Padang Temu, pada 28 Disember lalu manakala datuknya, Jamil Ismail, 54, yang menunggang motosikal tidak cedera.

Bagaimanapun, Adly menegaskan, langkah berkenaan tidak menjejaskan kehadiran pelancong ke Melaka atau menyebabkan operasi perkilangan dan industri lain tergendala kerana pihak terbabit sudah bersedia menghadapi catuan itu.

Beliau berkata, secara asasnya, Melaka mempunyai simpanan air mencukupi, tetapi kerajaan negeri terpaksa melaksanakan catuan air berdasarkan ketiadaan hujan yang menyebabkan paras air di tiga empangan utama berada pada tahap tidak memuaskan.

“Setakat pagi ini, kadar air di Empangan Durian Tunggal, Alor Gajah adalah 27.8 peratus dengan kapasiti 8,570 juta liter manakala Empangan Jus, Jasin (31.8 peratus dengan kapasiti 13,750 juta liter) dan Empangan Asahan, Jasin (58.9 peratus dengan kapasiti 410 juta liter),” katanya.

Disiarkan pada: February 7, 2020 @ 3:30pm
d