mutakhir

6 ditahan seludup diesel

Oleh Erika George

PASUKAN Gerakan Am (PGA) Limbang menahan sebuah kapal tangki minyak sarat dengan muatan 100,000 liter diesel bernilai RM240,000 dalam serbuan di kawasan pengumpulan kayu balak di Jalan Kubong, Limbang, petang semalam.

Pegawai Memerintah Batalion 12 Pasukan Gerakan Am (PGA) Miri, Superintendan Tan Hiap Seng berkata, serbuan turut menahan enam lelaki tempatan berusia 27 hingga 52 tahun dipercayai pekerja di kawasan pengumpulan balak berkenaan.

“Ketika tangkapan dilakukan, semua suspek terdiri daripada seorang juragan dan lima anak kapal sedang memindahkan stok bekalan diesel dari kapal ke gudang tidak bernombor berhampiran Sungai Kubong,” katanya.

Katanya, hasil semakan mendapati juragan kapal terbabit gagal mengemukakan dokumen berkaitan perolehan dan pembelian ke atas diesel yang dibawa.

“Semua suspek serta rampasan diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Cawangan Limbang untuk tindakan lanjut,” katanya.

Kes ini akan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana gagal mengemukakan dokumen berkaitan perolehan dan pembelian ke atas diesel yang dibawa.

Disiarkan pada: February 7, 2020 @ 3:40pm
d