mutakhir

Sukarelawan wanita pantau masjid

Oleh Ahmad Rabiul Zulkifli

KEWUJUDAN sukarelawan wanita yang berkawal dan menjaga keselamatan di Masjid Gong Tok Nasek di Kuala Terengganu, ketika jemaah menunaikan solat Jumaat harus dipuji dan dicontohi.

Tinjauan Harian Metro ke masjid itu mendapati seramai 10 wanita berusia 50 hingga 65 tahun lengkap dengan jaket keselamatan berkawal di perkarangan masjid sekali gus mencegah kecurian di masjid berkenaan.

Kawalan bermula jam 1 tengah hari hingga selesai solat Jumaat itu mula dijalankan sejak Ogos tahun lalu.

Zaimah Mohd Zain, 52, berkata, kawalan itu dijalankan bagi memastikan jemaah dapat menunaikan solat dengan tenang tanpa rasa bimbang mengenai keselamatan harta benda masing-masing.

“Sejak pasukan sukarelawan berkawal di situ, tiada laporan kes kecurian di masjid ini.

“Paling diberi perhatian ialah motosikal yang di parkir di hadapan masjid selain mengawal lalu lintas di hadapan masjid supaya lancar,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Zaimah berkata, kawalan keselamatan itu itu bukan sahaja mendapat pujian tetapi disarankan supaya diteruskan untuk kebaikan bersama.

“Seronok berkawal di masjid ini, pada masa sama dapat berkhidmat kepada penduduk kampung,” katanya.

Sementara Juriah Salleh, 64, dari Kampung Gong Baru berkata, bukan sahaja menjaga keselamatan harta benda tetapi turut memantau remaja yang ponteng solat.

“Biasa kami akan nasihatkan remaja yang melepak di sekitar masjid supaya mendengar khutbah dan menunaikan solat Jumaat.

“Sebelum ini hanya sukarelawan wanita di bawah Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kampung Gong Baru yang berkawal tetapi sejak Januari ia turt disertai Sukarelawan Wanita Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Gong Tok Nasek.

“Kami menjalankan kawalan secara sukarela tanpa sebarang upah atau paksaan, sebaliknya untuk membantu,” katanya.

Disiarkan pada: February 7, 2020 @ 3:41pm
d