mutakhir

Rampas balak nilai lebih RM1 juta

Oleh Rafiqah Dahali

JABATAN Perhutanan Sabah merampas kira-kira 1,700 batang kayu balak dianggarkan bernilai lebih RM1 juta di Long Mio di Sipitang, Rabu lalu yang disyaki ditebang secara tidak sah.

Ketua Konservator Hutan, Datuk Mashor Mohd Jaini berkata, tindakan pada jam 2 petang itu adalah susulan aduan yang diterima pihaknya berkenaan pencerobohan di kawasan konsesi sebuah syarikat di Hutan Simpan Ulu Sungai Padas, baru-baru ini.

“Melalui tinjauan udara menggunakan helikopter, Pasukan Penguat Kuasa Khas Jabatan Perhutanan Sabah mengesan longgokan kayu balak di satu kawasan dan memaklumkan kepada pasukan Penguat Kuasa Khas (PROTECT) Jabatan Perhutanan Sabah untuk membuat serbuan di lapangan.

“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati kira-kira 1,700 kayu balak yang dikumpul di beberapa lokasi berasingan dan pihak terbabit disyaki melakukan aktiviti yang bercanggah dengan Enakmen Hutan 1968 itu sudah dikenal pasti,” katanya.

Mashor berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 20 Enakmen Hutan 1968 yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM500,000 dan penjara tidak kurang satu tahun tetapi tidak melebihi 20 tahun.

“Pihak kami juga memberi amaran kepada semua pengusaha pembalakan dan pemilik tanah yang sedang membuka kawasannya supaya tidak memandang ringan perkara ini.

“Kesalahan sedemikian sangat serius dan jabatan tidak akan berkompromi sama sekali,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Disiarkan pada: February 7, 2020 @ 4:06pm
d