mutakhir

Ustaz Somad baca doa mohon hujan, elak wabak

Oleh Nazri Abu Bakar

PENCERAMAH terkemuka, Ustaz Abdul Somad mengetuai bacaan doa memohon hujan dan dijauhi wabak penyakit sebelum ceramahnya berakhir di Masjid Al Azim, Bukit Palah, Melaka, malam tadi.

Dia diminta membacakan doa menerusi sesi soal jawab selepas selesai menyampaikan ceramah selama sejam sebelum itu.

Doa berkenaan turut merangkumi kesejahteraan, kesihatan, keselamatan dan keamanan umat Islam di Melaka.

Lebih 20,000 mengaminkan doa dibacakan termasuk di dalam masjid serta Dataran Islam Pusat Islam berkenaan.

Soalan terbabit diajukan salah seorang penduduk berikutan situasi semasa di Melaka yang menghadapi catuan bekalan air.

Dalam pada itu, beliau turut menjawab lebih 10 soalan dalam sesi berkenaan selepas sesi ceramah yang turut meruntun hati dan jiwa mereka yang hadir.

Malah terdapat soalan berkaitan pandangan dan pencerahan berkaitan lelaki menyerupai wanita dan sebaliknya.

“Lelaki menyerupai perempuan dilaknat Allah SWT. Pada zaman Nabi Muhammad SAW mereka diasingkan ke negeri Nakek, bagi mengelak ia menular kepada orang lain malah dibimbangi mempengaruhi dan merebak kepada masyarakat sekeliling.

“Mereka kemudiannya dibimbing, diberi latihan untuk sehingga pulih dan sihat. Malah ketika itu terdapat lelaki berinai menyerupai wanita sehingga diarahkan untuk diasingkan,” katanya.

Disiarkan pada: February 7, 2020 @ 5:28pm
d