mutakhir

Penuntut Politeknik maut digilis

Oleh Rosli Ilham

PENUNTUT Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA), Dungun maut digilis sebuah kereta di Jalan Lapangan Terbang, Sura Hujung, hari ini.

Dalam kejadian pada 2.30 petang itu, mangsa Muhammad Aiman Zamry, 20, dari Kubang Bemban Pasir Mas, Kelantan maut di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila sebuah kereta Perodua Kancil dikatakan memberhentikan kenderaannya bagi memberi laluan kepada kenderaan lain yang ingin masuk ke simpang kanan.

“Mangsa yang berada di belakang Perodua Kancil gagal membrek lalu bergesel di bahagian belakang kereta lalu terjatuh.

“Pada masa sama, sebuah kereta Proton Saga BLM dari arah bertentangan gagal mengelak lalu menggilis mangsa, “katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Menurutnya, ketika kejadian, penuntut jurusan Diploma Elektrik Elektronik itu baru selesai solat Jumaat dan menunggang motosikal bersendirian untuk ke sebuah warung berdekatan untuk makan tengah hari.

“Kejadian sudah dimaklumkan kepada pengurusan PSMZA dan keluarga mangsa.

“Mayat dihantar ke Bilik Forensik Hospital Dungun untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan APJ 1987, “katanya.

Sementara itu, seorang saksi berkata, dia yang dalam perjalanan pulang ke rumah memberhentikan kenderaan untuk membantu.

Bagaimanapun, katanya, mangsa sudah meninggal dunia.

Disiarkan pada: February 7, 2020 @ 5:35pm
d