mutakhir

Penyebar berita palsu koronavirus akan didakwa

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

INDIVIDU yang disiasat kerana menyebarkan berita palsu berkaitan koronavirus baharu akan segera didakwa di mahkamah.

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, pihak Pejabat Peguam Negara memberi jaminan berhubung perkara itu bagi membolehkan pendakwaan dilakukan segera.

“Segala berita palsu, berita tidak bertanggungjawab yang boleh menyebabkan orang rasa takut akan ditangani serta merta.

“Sebaik siasatan polis selesai dan kertas siasatan dihantar kepada Pejabat Peguam Negara, mereka akan segera membuat pendakwaan ke atas suspek,” katanya pada sidang media selepas Majlis Serah Terima Tugas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, di sini, hari ini.

Abdul Hamid berkata, orang ramai sepatutnya tidak sewenang-wenangnya menyebarkan berita palsu virus berkenaan kerana ia adalah tindakan yang tidak cerdik.

Katanya, tiada gunanya individu tertentu menjadi juara dengan menyebarkan berita yang mereka sendiri tidak faham.

“Sebagai contoh berita palsu yang disebarkan menyatakan sebuah kapal membawa anak kapal dari Wuhan berlabuh di Pelabuhan Kuala Linggi, Melaka, tempoh hari.

“Ini secara tidak langsung penyebar berita itu mahu mengatakan virus berkenaan sudah sampai ke sana (Kuala Linggi), maka kita perlu ambil tindakan,” kata beliau.

Beliau menasihatkan individu yang cuba menyebarkan berita palsu supaya tidak mensia-siakan kehidupan di dalam lokap dengan makanan dalam lokap yang tidak sedap.

“Biarlah lokap polis ini dipenuhi dengan penjenayah tegar dan bukan dipenuhi dengan penyebar fitnah dan berita palsu,” katanya.

Terdahulu, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Mazlan Mansor memaklumkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuka 13 kertas siasatan berhubung penyebaran khabar angin dan berita tidak sahih mengenai penularan koronavirus baharu melalui media sosial.

Beliau memaklumkan tiga kertas siasatan sudah mendapat kebenaran daripada Jabatan Peguam Negara untuk didakwa di mahkamah.

Disiarkan pada: February 7, 2020 @ 5:38pm
d