mutakhir

Langkah bercuti bukti saya telus !

Oleh Noor Atiqah Sulaiman

“SAYA ambil keputusan bercuti daripada semua jawatan dalam parti (PKR) bagi menjamin keputusan yang akan dibuat biro politik PKR terhadap kes disiplin dihadapi ( saya ) lebih telus,” ujar Naib Presiden PKR Zuraida Kamaruddin.

Menurutnya, dia perlu profesional dengan memilih untuk bercuti supaya tidak dilihat mempengaruhi keputusan yang akan dibuat biro itu berhubung kes disiplin yang dihadapinya.

Zuraida berkata, biro politik adalah badan terakhir yang akan membuat 'political decision' dan beliau tidak mahu berada di situ semasa keputusan dibuat.

"Kes disiplin yang sedang saya hadapi akan dirujuk kepada biro politik oleh Lembaga Disiplin selepas siasatan selesai dijalankan.

"Oleh kerana orang berkenaan (tertuduh) adalah saya, maka lebih profesional untuk saya berehat seketika," kata Zuraida yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan selepas majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) kementeriannya dan Jasamu Dikenang di Putrajaya tadi.

Dalam pada itu, Zuraida berkata beliau sedia berdepan dua tuduhan memfitnah yang dibuat terhadapnya di mahkamah.

Katanya, beliau sudah meneliti surat tindakan undang-undang atas dakwaan memfitnah daripada Setiausaha Agung PKR Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Setiausaha Politik Datuk Seri Anwar Ibrahim, Farhash Wafa Salvador, dan sedia berdepan tuduhan itu di mahkamah.

Disiarkan pada: February 7, 2020 @ 6:19pm
d